BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
"Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah Bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian Yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"...Surah Al-Ankabut ayat 20

Welcome

Friday, August 21, 2009

Pendita kembali...

Assalamulaikum
Ramadhan Kareem....

Sudah sekian lama pendita tak update blog kerana sibuk dengan tugasan2 harian rasmi mahupun tidak rasmi. Walaubagaimanapun pendita mengambil peluang di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk kembali berkongsi ilmu di laman maya ini...mudah-mudahan memberi manfaat kepada kita semua...Wassalam.


Tazkirah Ramadhan...

Panduan Bagaimana Untuk Menyambut Ramadhan

Pertamanya, perlu kita faham bahawa, Ramadhan ini bolehlah dikatakan bulan paling istimewa dan paling mulia antara bulan-bulan Islam yang lain. Mukjizat terbesar Nabi SAW iaitu Al-Quran pun, telah diturunkan dalam bulan Ramadhan. Di dalam bulan Ramadhan terdapat pelbagai fadhilat dan kelebihan yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan.

Berikut ini adalah beberapa panduan dan peringatan bagaimana cara kita menyambut Ramadhan mengikut apa yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” (al-Baqarah 2:183)

1. Jadikan Ramadhan sebagai bulan latihan kerohanian.
Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.

Jadi, mari kita azam dalam diri masing-masing, untuk menjalani ibadah puasa dengan sebaik mungkin, mengawal nafsu syahwat dan melakukan banyak kebaikan. Latihlah diri untuk mengawal hawa nafsu dan perangai buruk kita sepanjang bulan ini.

2. Rebutlah Lailatul-Qadar, malam seribu bulan yang dijanjikan.
Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. ” (al-Qadr 97:1-3)

Allah dah berikan peluang merebut malam seribu bulan ini kepada kita hanya dalam bulan Ramadhan, jadi jangan kita sia-sia kan peluang ini. Marilah kita memperbanyakkan ibadah dan bermunajat kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh pada bulan Ramadhan ini.

3. Berpuasa dengan bersungguh-sungguh dan penuh keimanan, mohonlah keampunan daripada Allah terhadap dosa-dosa yang telah kita lakukan.
Allah berjanji akan mengampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keazaman.

Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

4. Kawal diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan.

Jauhi perkara yang sia-sia (laghoo). Sebaliknya perbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.

5. Sabar ke atas kecaman, umpatan atau musibah yang menimpa.
Rasulullah SAW mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa… sesungguhnya aku sedang berpuasa.”

6. Jangan bergosip atau sibuk memperkatakan hal-hal orang lain yang sia-sia.
Jagalah diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan. Lebih-lebih lagilah dalam bulan Ramadhan, memang hukumnya adalah lebih berat dan diberi penekanan.

7. Sentiasa berniat untuk melakukan kebaikan dan membantu sesama Muslim, terutamanya dalam hal melakukan kebaikan kepada keluarga sendiri.
Kita sangat-sangat disarankan untuk sentiasa berniat untuk melakukan kebaikan dan menjaga kebajikan serta saling membantu sesama Islam dalam menyelesaikan masalah.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.

Dalam bulan Ramadhan ini, kita sangat-sangat dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita.

8. Lipatgandakanlah amal ibadah kepada ALLAH sepanjang bulan Ramadhan.
Antara amalan-amalan yang perlu kita utamakan ialah ;

  • Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula banyakkan menghadiri majlis ilmu.
  • Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.
  • Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajjud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.
  • Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.
  • Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.
  • Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.
  • Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.
  • Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah SAW:

“Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.”




Tahukah Anda‏


Bilangan Malaikat

Malaikat terlebih dahulu diciptakan daripada manusia pertama, Nabi Adam a.s. Bilangan Malaikat tidak terkira banyaknya. Nisbahnya dengan jin dan manusia ialah malaikat: 90, jin: 9, dan manusia: 1. Ini bermakna, setiap sepuluh orang manusia, terdapat 900 ciptaan mahluk malaikat.

Malaikat Mendengar Khutbah


Pada setiap hari Jumaat, para malaikat akan mencatat kehadiran orang Islam yang datang untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Mereka berdiri di setiap pintu masjid dan menuliskan nama orang yang mula-mula datang. Kemudian dicatatkan pahalanya. Kemudian dicatatkan lagi, siapa orang seterusnya. Apabila khatib telah duduk di mimbar, buku kehadiran pun ditutup. Para malaikat tadi akan masuk untuk sama-sama mendengar khutbah Jumaat.

Seksa Kubur


Suatu ketika, dua orang wanita Yahudi datang bertemu Sayidatina Aisyah. Mereka berceritakan tentang ahli kubur yang diseksa di dalam kubur masing-masing. Tetapi Siti Aisyah tidak mahu mempercayai cerita yang dibawa oleh dua wanita Yahudi itu. Apabila Rasulullah datang, Siti Aisyah pun menceritakna tentang kedatangan dua orang tetamu Yahudi itu. Beliau turut memberitahu apa yang telah disampaikan oleh wanita-wanita dalam cerita mereka. "Benar, memang ahli kubur itu diseksa, sehingga seksaan mereka itu terdengar oleh binatang ternakan," jawab Rasulullah s.a.w.

Pakaian Penghuni Syurga


Kain sutera adalah sejenis kain yang sangat lembut dan mahal harganya. Hanya orang perempuan yang dibenarkan oleh Islam memakai pakaian daripada kain sutera, manakala orang lelaki dilarang memakainya. Tetapi di syurga nanti, sesiapa pun akan diberi pakaian daripada kain sutera yang cantik-cantik. Menurut keterangan al-Quran, penghuni-penghuni syurga akan memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal atau sutera kembang. Tentulah begitu selesa dipakai dan jauh lebih indah daripada sebarang pakaian yang ada di dunia.

Tujuh Lapisan Neraka


Neraka mempunyai tujuh lapisan. Setiap lapisan mempunyai satu pintu. Lapisan yang paling bawah adalah lapisan neraka yang paling berat dan dahsyat seksaannya. Tujuh lapisan neraka tersebut ialah Neraka Jahannam, Neraka Saqar, Neraka Lazha, Neraka Huthamah, Neraka Sa'ir, Neraka Jahim, dan Neraka Hawiyah. Semua lapisan itu diisi dengan pelbagai bentuk penyeksaan yang berat. Melihat wajah Malaikat Malik yang menggerunkan pun sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja berasa sangat takut, apatah lagi untuk diseksa di dalam mana-mana lapisan neraka.

Taman Syurga


Syurga dihias dengan taman-taman yang indah dan mengasyikkan. Di taman-taman itu terdapat sungai-sungai dan pohon buah-buahan. Di taman syurga juga terdapat mata air yang memancar deras airnya dan teduhan yang terbentang memanjang. Pemandangannya sungguh menyenangkan hati dan menggambarkan sebuah kerajaan yang besar. Udaranya pula sangat nyaman. Tidak panas dan tidak sejuk. Setiap orang yang berada di taman syurga boleh menikmati sungai yang airnya mengalir tenang. Mereka boleh memetik buah-buahan yang pohonnya rendang-rendang dan sentiasa berbuah tanpa mengikut musim

0 comments: