BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
"Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah Bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian Yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"...Surah Al-Ankabut ayat 20

Welcome

Sunday, August 30, 2009

Aku Hamalatul Quran




Bisikan ketenangan menyelubungi nurani, kesyahduan ku rasakan amat bererti, acap kali ku terdengar alunan suara insan-insan kerdil membasahi lidah dengan kalamMu Ya Ilahi, tiada putus-putus mendampingi kitabMu, membaca, mentadabbur, meneliti ayat-ayat suci. Segolongan insan yang dihormati, segolongan insan yang dipandang tinggi, inilah insan yang bergelar Hamlatul Quran, iaitu pendukung kitab suci. Hamlatul Quran itulah aku!

Terngiang-ngiang di telingaku ungkapan kata yang penuh makna, yang hanya dapat dihayati oleh hati-hati yang suci. Wasiat Ibnu Mas’ud yang berbunyi..

“...seharusnya bagi seorang Hamlatul Quran itu mengetahui...
malamnya ketika manusia dibuai mimpi, siangnya ketika manusia enak menikmati juadah, tangisannya ketika manusia bergelak ketawa, diamnya ketika manusia berkata yang
sia-sia, dan khusyuknya ketika manusia leka dengan kehidupan dunia...”

Aku merenung sejenak, Hamlatul Quran...begitukah aku?

Kata-kata itu mengetuk fikiranku, menyentuh hatiku, menyedarkan aku dari lamunanku, betapa Hamlatul Quran yang hakiki adalah insan-insan yang sanggup bermujahadah dalam kepayahan, mampu berkorban dalam tangisan dan rela imannya diuji dalam keperitan..Baru ku sedar, Hamlatul Quran..kau luar biasa!

Tatkala ku imbas kembali kisah silamku yang penuh dengan kelalaian, kealpaan, keseronokan seperti orang-orang kebanyakan, sememangnya tidak layak untuk diri ini dianugerahi dengan permata Ilahi yang nilainya terlalu tinggi jika dibanding dengan diri yang dhaif ini..

Namun... Kau anugerahkan jua aku kemuliaan ini, menjadi salah seorang insan pilihanMu, di dalam dunia Hamlatul Quran yang penuh dengan janji-janji manis di akhirat nanti.. ibu bapaku bakal Kau pakaikan dengan mahkota sebagai hadiah pengorbanan mereka mendidik ku mengenali kehidupan insani.

Tidak mahukah engkau dibangkitkan dengan sinaran cahaya jernih yang terpancar pada wajah yang berseri-seri? Hamlatul Quran, alangkah beruntungnya dikau..!

Sahabat-sahabat Al-Quran, sudahkah Al-Quran menakluki jiwamu? Menjadi kekasihmu, buah hatimu yang tiada bertepi? Ataukah manusia yang yang masih bertakhta di sanubari? Ataukah kasih manusia yang masih kau dambai? Pernahkah kau rasakan
Al-Quran itu teman sejati? Adakah impianmu sekadar satu ilusi dalam fantasi..yang implikasinya tidak sama dengan realiti kehidupan Hamlatul Quran?

Sahabatku... ingatlah, kita dipertemukan kerana Al-Quran, ukhwah mahabbah yang terjalin ini atas nama Al-Quran, dan semoga perpisahan kita adalah semata-mata untuk meneruskan perjuangan demi Al-Quran.

Ya Allah, jadikanlah aku seorang Hamlatul Quran yang sejati dan hakiki, sebagai penyejuk mata, penawar hati setiap insan di muka bumi. agar kehadiranku di dunia ini dihargai. Berkatilah aku dengan anugerah kemuliaan yang Kau beri. Sesungguhnya kehidupan di dalam dunia ini sungguh indah tidak terperi dengan alunan ayat-ayat suci yang sentiasa bermain di mulut, di telinga dan di hati. Lantas itu, ku pinta padaMu Ilahi, agar saat-saat akhir hayatku, alunan kalamMu jua yang mengiringi pemergianku.

Wednesday, August 26, 2009

Tahukah Anda‏???

FAKTA KELEBIHAN AIS


· Air Sejuk yang hening dapat menolong pesakit insomnia yang sukar tidur agar dapat kembali tidur seperti biasa.

· Orang yang tidur dalam udara yang sejuk dan berselimut untuk memanaskan tubuhnya adalah kombinasi yang baik untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh dalam jangka masa pendek apatah lagi jangka panjang.

· Udara panas lebih memudahkan penyebaran penyakit berjangkit kerana bakteria lebih agresif dan cepat membiak dalam cuaca begini.

· Liputan ais di Antartika (daerah kutub Selatan) dan Artik (daerah kutub utara) adalah pengimbang dasar bumi yang amat panas.

· Kombinasi dalam bumi yang panas dan luaran bumi yang sejuk adalah rahsia keseimbangan tekanan semulajadi alam yang mengawal graviti dan pergerakan bumi pada paksinya.

· Ais atau air sejuk dapat mengembalikan memori atau sifat pelupa yang keterlaluan.

· Benarkan anak anda mengunyah ais kerana ini akan menguatkan giginya dan benarkan anak anda memakan ais krim secara perlahan-lahan dan berterusan sehingga batuknya hilang dalam masa beberapa jam kerana mengambil ubat batuk biasanya akan mengambil masa satu minggu untuk melegakan batuk secara total.

· Membiasakan diri mengunyah ais akan meningkatkan kecerdasan fikiran dan kepantasan pergerakan.

· Ais amat diperlukan oleh mana-mana atlit sukan dalam kecederaan yang tidak disangka-sangkakan.

· Air sejuk atau ais kini dijadikan bahan perencat kepada kecederaan yang akut seperti demam panas yang biasanya dihidapi oleh bayi yang mempunyai potensi menghidapi sawan.

· Air sejuk adalah terapi yang amat popular sebagai penguat tulang yang telah patah dengan syarat ia dibalut dengan kain hitam.

· Air sejuk dalam rahsia cuka adalah sangat baik untuk menguatkan tulang yang patah kerana ia dapat menyembuhkan tulang dengan lebih cepat.

· Air suam dengan rahsia cuka yang diminum akan melemahkan dan mengecutkan sistem aliran darah yang menjadi penyebab utama terjadinya lumpuh.

· Adalah makruh mengambil air sembahyang (wuduk) pada suhu yang tinggi atau yang telah terkena panas cahaya matahari yang pastinya akan mengganggu sistem deria pada kulit.

· Air sejuk secara psikologinya amat ditakuti oleh pesakit yang mengalami gangguan jin atau dikuasai oleh unsur-unsur spiritual yang jahat.

· Air sejuk mempunyai nada bunyi dalam tekanan rendah yang amat lembut lagi mengharmonikan.

· Air sejuk akan menguatkan tulang bayi.

· Air sejuk akan meningkatkan sistem imun yang luar biasa sebagai tenaga pencegahan berbagai penyakit alahan dan jangkitan.

· Air sejuk dalam rahsia ais memegang rahsia kepadatan molekul kristal yang paling keras iaitu intan.

· Air sejuk adalah kuasa penyerap yang amat sesuai dijadikan sistem penghantaran tenaga yang paling cekap sehingga ke dasar sel yang jauh dan menyeluruh.

· Air sejuk mempunyai daya rangsangan yang boleh mengembalikan semangat orang yang telah hilang ingatan seperti pengsan, gila dan koma kembali sedar.

· Mandi air sejuk akan menguatkan tulang. Tulang yang berlebihan urik asid akan meningkatkan suhu tulang dan melemahkan struktur tulang.

· Air sejuk lebih stabil molekul atomnya.

· Air sejuk lebih peka kepada gelombang frekuensi rendah yang dirakamkan melalui niat dalam amalan berwuduk.

· Air sejuk dapat merakamkan gelombang frekuensi rendah lebih stabil.

· Air sejuk sesuai dijadikan air penawar kepada orang yang ingin merakamkan bunyi dalaman yang disertai dengan rasa kasih sayang dan keikhlasan.

· Air kelapa muda bersifat sejuk amat baik untuk kesihatan kerana ia amat berkesan untuk meneutralkan kesan keracunan dan keasidan yang berlebihan dalam aliran darah. Tubuh secara semulajadinya bersifat panas dan ia memerlukan pasangan yang bersifat sejuk.

· Oksigen dan hidrogen bersifat panas dan ia menguasai bahagian perut. Adalah menjadi suatu kesalahan memulakan amalan pemakanan di waktu pagi dengan unsur-unsur yang panas. Minumlah seteguk air sejuk di awal pagi kerana ia menguatkan perut.

Petikan dari buku panduan dan aplikasi Seri Wajah (Aromatherapy Vibration)

- Dr.Nohissam Mustafa

Tuesday, August 25, 2009

Tahukah Anda‏???

Sujud Legakan Sistem Pernafasan...

Mungkin ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah
yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu
pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.
Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika
bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t.
dan menjauhi larangannya.
Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir
dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.
Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

Bernafas ketika sujud pula boleh:
- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
- melegakan sakit hernia. (burut)
- mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
- melegakan paru-paru daripada ketegangan.
- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
- meringankan bahagian pelvis.
- memberi dorongan supaya mudah tidur.
- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.
- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
- mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di
hadapan Yang Maha Pencipta sekaligus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran
darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan
otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentality seseorang.
Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang
tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan
darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.

Friday, August 21, 2009

Solat Terawih...

FaDHiLaT SoLaT TeRaWiH


1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

Pendita kembali...

Assalamulaikum
Ramadhan Kareem....

Sudah sekian lama pendita tak update blog kerana sibuk dengan tugasan2 harian rasmi mahupun tidak rasmi. Walaubagaimanapun pendita mengambil peluang di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk kembali berkongsi ilmu di laman maya ini...mudah-mudahan memberi manfaat kepada kita semua...Wassalam.


Tazkirah Ramadhan...

Panduan Bagaimana Untuk Menyambut Ramadhan

Pertamanya, perlu kita faham bahawa, Ramadhan ini bolehlah dikatakan bulan paling istimewa dan paling mulia antara bulan-bulan Islam yang lain. Mukjizat terbesar Nabi SAW iaitu Al-Quran pun, telah diturunkan dalam bulan Ramadhan. Di dalam bulan Ramadhan terdapat pelbagai fadhilat dan kelebihan yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan.

Berikut ini adalah beberapa panduan dan peringatan bagaimana cara kita menyambut Ramadhan mengikut apa yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” (al-Baqarah 2:183)

1. Jadikan Ramadhan sebagai bulan latihan kerohanian.
Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.

Jadi, mari kita azam dalam diri masing-masing, untuk menjalani ibadah puasa dengan sebaik mungkin, mengawal nafsu syahwat dan melakukan banyak kebaikan. Latihlah diri untuk mengawal hawa nafsu dan perangai buruk kita sepanjang bulan ini.

2. Rebutlah Lailatul-Qadar, malam seribu bulan yang dijanjikan.
Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. ” (al-Qadr 97:1-3)

Allah dah berikan peluang merebut malam seribu bulan ini kepada kita hanya dalam bulan Ramadhan, jadi jangan kita sia-sia kan peluang ini. Marilah kita memperbanyakkan ibadah dan bermunajat kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh pada bulan Ramadhan ini.

3. Berpuasa dengan bersungguh-sungguh dan penuh keimanan, mohonlah keampunan daripada Allah terhadap dosa-dosa yang telah kita lakukan.
Allah berjanji akan mengampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keazaman.

Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

4. Kawal diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan.

Jauhi perkara yang sia-sia (laghoo). Sebaliknya perbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.

5. Sabar ke atas kecaman, umpatan atau musibah yang menimpa.
Rasulullah SAW mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa… sesungguhnya aku sedang berpuasa.”

6. Jangan bergosip atau sibuk memperkatakan hal-hal orang lain yang sia-sia.
Jagalah diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan. Lebih-lebih lagilah dalam bulan Ramadhan, memang hukumnya adalah lebih berat dan diberi penekanan.

7. Sentiasa berniat untuk melakukan kebaikan dan membantu sesama Muslim, terutamanya dalam hal melakukan kebaikan kepada keluarga sendiri.
Kita sangat-sangat disarankan untuk sentiasa berniat untuk melakukan kebaikan dan menjaga kebajikan serta saling membantu sesama Islam dalam menyelesaikan masalah.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.

Dalam bulan Ramadhan ini, kita sangat-sangat dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita.

8. Lipatgandakanlah amal ibadah kepada ALLAH sepanjang bulan Ramadhan.
Antara amalan-amalan yang perlu kita utamakan ialah ;

  • Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula banyakkan menghadiri majlis ilmu.
  • Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.
  • Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajjud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.
  • Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.
  • Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.
  • Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.
  • Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.
  • Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah SAW:

“Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.”




Tahukah Anda‏


Bilangan Malaikat

Malaikat terlebih dahulu diciptakan daripada manusia pertama, Nabi Adam a.s. Bilangan Malaikat tidak terkira banyaknya. Nisbahnya dengan jin dan manusia ialah malaikat: 90, jin: 9, dan manusia: 1. Ini bermakna, setiap sepuluh orang manusia, terdapat 900 ciptaan mahluk malaikat.

Malaikat Mendengar Khutbah


Pada setiap hari Jumaat, para malaikat akan mencatat kehadiran orang Islam yang datang untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Mereka berdiri di setiap pintu masjid dan menuliskan nama orang yang mula-mula datang. Kemudian dicatatkan pahalanya. Kemudian dicatatkan lagi, siapa orang seterusnya. Apabila khatib telah duduk di mimbar, buku kehadiran pun ditutup. Para malaikat tadi akan masuk untuk sama-sama mendengar khutbah Jumaat.

Seksa Kubur


Suatu ketika, dua orang wanita Yahudi datang bertemu Sayidatina Aisyah. Mereka berceritakan tentang ahli kubur yang diseksa di dalam kubur masing-masing. Tetapi Siti Aisyah tidak mahu mempercayai cerita yang dibawa oleh dua wanita Yahudi itu. Apabila Rasulullah datang, Siti Aisyah pun menceritakna tentang kedatangan dua orang tetamu Yahudi itu. Beliau turut memberitahu apa yang telah disampaikan oleh wanita-wanita dalam cerita mereka. "Benar, memang ahli kubur itu diseksa, sehingga seksaan mereka itu terdengar oleh binatang ternakan," jawab Rasulullah s.a.w.

Pakaian Penghuni Syurga


Kain sutera adalah sejenis kain yang sangat lembut dan mahal harganya. Hanya orang perempuan yang dibenarkan oleh Islam memakai pakaian daripada kain sutera, manakala orang lelaki dilarang memakainya. Tetapi di syurga nanti, sesiapa pun akan diberi pakaian daripada kain sutera yang cantik-cantik. Menurut keterangan al-Quran, penghuni-penghuni syurga akan memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal atau sutera kembang. Tentulah begitu selesa dipakai dan jauh lebih indah daripada sebarang pakaian yang ada di dunia.

Tujuh Lapisan Neraka


Neraka mempunyai tujuh lapisan. Setiap lapisan mempunyai satu pintu. Lapisan yang paling bawah adalah lapisan neraka yang paling berat dan dahsyat seksaannya. Tujuh lapisan neraka tersebut ialah Neraka Jahannam, Neraka Saqar, Neraka Lazha, Neraka Huthamah, Neraka Sa'ir, Neraka Jahim, dan Neraka Hawiyah. Semua lapisan itu diisi dengan pelbagai bentuk penyeksaan yang berat. Melihat wajah Malaikat Malik yang menggerunkan pun sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja berasa sangat takut, apatah lagi untuk diseksa di dalam mana-mana lapisan neraka.

Taman Syurga


Syurga dihias dengan taman-taman yang indah dan mengasyikkan. Di taman-taman itu terdapat sungai-sungai dan pohon buah-buahan. Di taman syurga juga terdapat mata air yang memancar deras airnya dan teduhan yang terbentang memanjang. Pemandangannya sungguh menyenangkan hati dan menggambarkan sebuah kerajaan yang besar. Udaranya pula sangat nyaman. Tidak panas dan tidak sejuk. Setiap orang yang berada di taman syurga boleh menikmati sungai yang airnya mengalir tenang. Mereka boleh memetik buah-buahan yang pohonnya rendang-rendang dan sentiasa berbuah tanpa mengikut musim